Gunung Jerai,.

Gunung Jerai,.
Hanya boleh dipandang dari jauh namun mustahil untuk milikinya.

Jumaat, 27 Disember 2013

Kenangan mengamit memori bersama ADILA di Radio Klasik



 Apa ada pada kenangan? Padaku kenangan memberi seribu erti dalam memulakan sebuah kisah.Keluarga kami dulu selalu berpindah randah.Aku tak tahu penyebabnya,yang aku tahu emak dan ayahku bertemu jodoh di Kampung Megat Dewa Jitra,Kedah.Kami kemudiannya berpindah pula ke Kampung Rambai di Tokai Kedah,dari Tokai berpindah lagi ke Kampung Beda Siam,Sedaka Yan Kedah.Aku anak ke lapan juga merupakan anak bongsu dilahirkan di Kampung Paya Mengkuang di Gurun Kedah.Ketika umur aku 5 atau 6 tahun kami berpindah lagi ke Kampung Sungai Kerang di Teluk Intan Perak.

                Aku mula menjejakkan kaki di alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi,Teluk Intan Perak.Tahun 1982 mak aku meninggal kerana mengidap barah.Aku tak pasti barah apa kerana ketika itu aku baru berusia 7 tahun.Yang tak dapat aku lupa bila melihat jenazah mak yang sudah kaku.Perut mak ada tanda hijau kebiruan.Kakak aku cakap barah mak sudah pecah dan menyebabkan kematian mak.Ya Allah!,tentu mak sangat terseksa melawan kesakitannya sebelum ini.Mak seorang wanita yang sangat tabah.Aku tak pernah pun mendengar mak merungut.Entahlah,aku masih terlalu kecil ketika itu untuk memahami erti sebuah kehidupan.

                  Selepas mak meninggal ayah kahwin lagi.Mak tiri aku nama mak Bedah.Dia bawa dua orang anak,seorang lelaki dan seorang perempuan.Mak tiri mungkin tak pernah mendera kami tapi aku dan anak perempuan mak tiri aku selalu bergaduh.Tali pun boleh menjadi punca kami bergaduh.Kami sama umur.Masing-masing baru berusia 7 tahun.Bila aku ingat balik terasa lucu pulak.Betapa bodohnya bila difikirkan balik.Inilah kenangan yang takkan mungkin berulang kembali.

                 Hujung tahun 1982 ayah menghantar aku untuk tinggal di rumah salah seorang kakakku di Yan Kedah.Biar pun di sini bukan kampung kelahiranku aku boleh diibaratkan seperti orang balik kampung halaman.Tak jauh sangat kot Yan dengan Gurun tempat kelahiranku.Kakakku yang ini mempunyai dua orang anak lelaki.Kami kadang-kadang ibarat musuh.Kalau bab bergaduh usah cakaplah,selalu sangat dan selalunya akulah mangsa yang akan kalah.Menangis saja kerja aku.Dah nasib badan!

                    Tahun 1992,aku sudah berada di tingkatan lima.Sebelum mengambil peperiksaan SPM sekolah aku mengadakan Kursus Kecemerlangan Pelajar untuk tingkatan 4 dan tingkatan 5.Aku salah seorang dari pelajar yang menyertainya.Sekolah Menengah Yan namanya ketika itu,meninggalkan banyak memori zaman remaja untukku.Tiga hari dua malam Kursus ini berlangsung.Bermacam-macam dugaan yang aku tempuhi sepanjang tiga hari tinggal di sekolah.Yang paling tak boleh aku lupa bila penyelia kami Encik Shaharom memperkenalkan diri.Aku mempunyai kawan baik yang juga bernama Shaharom yang turut berada dalam kumpulan kami.Aku tersenyum memerhatikan wajah kelat Shaharom ketika Encik Shaharom memperkenalkan diri.Nama yang sama tapi berlainan jantina.Rindu pula aku pada kawan baikku itu.

              Ketika kami disoal seorang demi seorang apa cita-cita kami,aku memberitahu aku ingin menjadi penulis.Sebenarnya aku sendiri pun tak pasti kenapa jawapan itu yang aku beri.Sejak sekolah rendah cita-citaku hanya untuk menjadi guru.Macam mana pula boleh berubah arah dalam sekelip mata.Hailah mulut!,.ikut sedap jer nak keluar.

             ''Tak apa saya akan ikuti perkembangan kamu semua,'' encik Shaharom memberitahu kami.Aku hanya membisu.Mampukah aku menjadi seorang penulis? Aku bertanya di dalam hati.

               Selepas peperiksaan SPM aku bekerja di kedai makan di Simpang Empat Kangkong,Alor Setar Kedah hinggalah keluar keputusan SPM.Nasib ternyata tak memihak padaku selepas mengambil keputusan SPM.Aku mendapat keputusan yang agak mengecewakan,namun aku masih menerima surat untuk melanjutkan pelajaran.Nak melanjutkan pelajaran memang jauh panggang dari api.Abang ipar aku tak mampu untuk terus menyekolahkan aku.Ketika aku ambil SRP sebelum ni pun aku sudah tidak dibenarkan naik ke tingkatan 4,walaupun keputusan SRP aku agak memuaskan.Aku yang berdegil dan menangis untuk naik ke tingkatan 4 jugak lalu
terus menyambung hingga tingkatan 5.

                  Tahun 1993,aku mula bekerja di kilang Sony Mega.Aku ditempatkan di asrama Teratak Mega,Taman Alma Jaya 2,Bukit Mertajam.Asrama ni ada 4 blok.Setiap blok ada 7 buah rumah yang bersambung dan setiap rumah ada 6 bilik.Sebuah bilik ada 4 orang.Ini bermakna sebuah rumah ada 24 orang yang datang dari perbagai negeri.Ada yang datang dari Kedah,Pahang,Perak,Kelantan,Terengganu.Memang meriah sangat dengan pelbagai loghat.Kalau satu Malaysia dah berkumpul dalam sebuah rumah beginilah jadinya.

            Aku ditempatkan di rumah B6.Ketika mula bekerja aku sebilik dengan pekerja lain yang berasal dari Kedah,hinggalah masa terus berlalu dan rakan-rakan sebilik pun silih berganti.Tiga tahun aku bekerja sampailah masanya aku menamatkan zaman bujangku.Aku bertunang dalam usia 19 tahun dengan pemuda sekampung yang berusia 28 tahun.Kami bernikah pada 23 oktober 1995 ketika aku berusia 20 tahun.Ini bermakna kami bertunang setahun.

             Selepas mendapat status sebagai isteri aku terus berhenti kerja.Aku pulang dan tinggal di kampung sedangkan suami aku masih tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawannya di Sungai Petani.Lapan bulan juga kami hidup terpisah.Suamiku hanya akan pulang seminggu atau dua minggu sekali untuk berjumpa denganku.Bila aku masih belum ada tanda-tanda untuk mengandung sudah terdengar usikan-usikan dari orang kampung yang mengatakan aku 'kemuruk'.Aku hanya membisu tanpa kata.Sesungguhnya selagi manusia mampu bersuara mereka akan terus menilai orang sesuka hati.Biarkanlah mereka! Aku pujuk diri sendiri.

               Masa terus berlalu,aku akhirnya disahkan mengandung anak sulung,namun Allah terus menguji kami.Empat bulan kandunganku aku keguguran.Tiga bulan seterusnya aku mengandung lagi.Bahagia tak terkata bila kandunganku kali ini selamat dilahirkan pada 22 oktober 1997,sehari sebelum ulangtahun perkahwinan kami yang ke-2.Inilah hadiah ulangtahun perkahwinan yang paling bermakna dalam hidup kami kerana dia merupakan satu-satunya zuriat kami yang hidup di dunia ini.Selepas kelahiran anak perempuan kami ini aku keguguran terus.Keguguran yang terakhir pada bulan febuari 2012.Keguguran kali yang ke 11.Namun begitu disebalik keguguran aku ada juga orang kampung yang tergamak  mengatakan aku ini mandul.Aku maafkan orang itu kerana dia mungkin tak tahu apa maksud mandul yang sebenarnya.

             Tahun 2013,aku mula mengorak langkah untuk meneruskan cita-citaku yang tidak sengaja aku ungkapkan.Cita-citaku untuk menjadi seorang penulis.Aku mula membuka blog pada 14 februari 2013.Aku mula updatekan karyaku yang tidak seberapa diblogku.Aku mula berjinak dengan cerpen dan novel.Aku juga menulis puisi dan pantun.Inilah duniaku selepas aku diuji dan terus diuji dengan pelbagai dugaan.Walaupun penat dan lelah menempuhi segala onak dan duri aku tak mahu terus mengalah dengan mudah.Insyaa Allah selagi aku terus bernafas aku akan kejar impian yang baru ku semai ini menjadi reality.Tolong doakan aku untuk terus menaiki tangga kejayaan hingga ke puncaknya.Aku baru menyemai benih kejayaan ini,mudahan takkan ada musibah yang akan meranapkannya hingga hasilnya sudah berjaya ku tuai.Aamin.

                Kita tidak pernah menduga apa yang bakal kita hadapi di hari muka.Bagi aku pahit dan manis kehidupanku yang telah aku tempuh dulu kini menjadi sumber inspirasiku untuk menulis.Aku adukkan setiap karyaku antara realiti dan imaginasi.Jangan merungut jika diuji kerana kenangan itu akan jadi lebih beerti bila kita mengingatinya lagi.Aku dan kenangan akan terus aku abadikan dalam mindaku,andainya perlu akanku lakarkan ia menjadi sebuah kisah.Biar masa terus berlalu namun jejak langkah yang kita tinggalkan jangan terus kita padam semuanya.Barangkali ada diantaranya yang akan berguna untuk kita menuju puncak jaya.


2 ulasan:

  1. tiap manusia terus diuji, hanya orang yg sabar pasti berjaya....
    dan tahniah! szaza tlh berjaya menjadi seorang penulis.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih mak ieteng sudi menjengah ke sini. Betul tu..tanpa pengalaman pahit dan manis pasti payah untuk mengarap sebuah cerita. Imaginasi semata2 takkan mampu menghidupkan sebuah cerita..namun setakat ini kejayaan sy sebagai penulis hanya sekitar penulis blog saja..hihi
      alhamdulillah..ilham yang datang semuanya kurniaan Allah untuk dikongsi pada sesiapa saja yg sudi membaca..

      Padam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.