Gunung Jerai,.

Gunung Jerai,.
Hanya boleh dipandang dari jauh namun mustahil untuk milikinya.

Khamis, 22 Oktober 2015

Mengorak Langkah



Akhirnya aku mengorak juga langkahku menuju kejayaan. Kali pertama aku mencabar diri menghantar karyaku kepada majalah kesayangan ramai, juga merupakan majalah yang sudah aku baca sejak berusia sembilan belas tahun.

Mingguan Wanita menjadi pilihanku sejak aku tahu dua orang rakan penulis yang juga menjadi rakan Facebookku telah menghantar cerpen mereka dan cerpen mereka berjaya disiarkan. Aku menjadi sangat teruja setelah menerima balasan email dari puan Siti Mariam Elias yang merupakan pengelola ruangan cerpen dalam majalah Mingguan Wanita. Tanpa usul periksa aku terus update status dalam facebook dan mengucapkan syukur.

Setelah status aku telah berada atas wall dua orang rakan penulis yang merupakan pembaca setia juga penyokong tegarku dalam dunia penulisan ini memberikan komen baru aku perasan. Rupanya tarikh untuk karya aku disiarkan tu masih terlalu jauh lagi. Masih ada sebulan lebih lagi dari tarikh aku menerima email. Hahaha,..sebenarnya aku bukan sekadar teruja tapi dah teroverdos,.berdos,dos,dos,dos terujanya,..ekeke,.

Tapi,.aku lebih teruja dan merasa sangat bahagia bila aku mengira tarikh dan bilangannya sekali lagi. Ya Allah! Indahnya aturan yang Kau tetapkan untukku. Tarikhnya jatuh pada tarikh ulangtahun perkahwinan kami yang ke-20. Inilah hadiah terindah dalam hidupku. Bukan wang atau nama yang aku kejar tapi Inilah Impianku yang ingin aku capai sejak dulu. Mungkin bagi orang lain, semua ini bukanlah apa sangat pun.

Bagi aku bila cerpen aku sudah berjaya menjadi sebuah cerpen dalam versi cetakan, inilah saat terindah yang aku impikan. Aku bukannya muda lagi untuk mengejar impian. Bulan oktober ini juga sudah genap usiaku 40 tahun dan bagi aku bukan mudah untuk terus mengejar impian yang aku semai sejak remaja. Aku pun tak pernah menduga akan pergi sejauh ini kerana aku sedar aku tak berkemampuan sebenarnya.

Bila sudah berada dalam versi cetak, aku semak semula apa yang telah diedit oleh pengelola ruangan ini. Memang aku sudah menduga pasti terdapat banyak kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda bacaan. Aku masih keliru dengan perkataan pada, kepada, dari dan daripada. Aku juga terlalu banyak menambah tanda seruan sedangkan sepatutnya aku hanya perlu meletakkan titik saja. Aku juga terlalu banyak mengunakan perkataan harian, contohnya ja yang sepatutnya aku tulis saja dan pula,aku sudah menambah huruf K dihujungnya.

Kalau dulu aku banyak melakukan kesalahan ejaan di yang dijarakkan dan didekatkan tapi bila aku perhatikan cerpen yang disiarkan tiada pula kesalahan itu yang aku lakukan. Namun aku harus lebih berhati-hati untuk menulis selepas ini. Sejujurnya bila umur semakin meningkat, aku juga semakin malas untuk belajar semua itu. Demi impian yang satu ini aku kuatkan semangatku.

Buat adik-adik penulis yang merupakan pembaca setia setiap karyaku, jangan mudah mengalah jika gagal untuk kali pertama dan seterusnya. Aku juga sedang belajar dari kegagalan yang telah aku lakukan berulangkali. Hidup takkan berakhir dengan kegagalan. Malahan kegagalan itulah yang sedang mengajar kita untuk menuju ke puncak kejayaan.

Nota cintaku buat semua : Harapanku ini bukan karya terakhir yang akan menjadi versi cetak, semoga masih ada lagi karya aku yang mungkin akan dibukukan dan disiarkan dalam majalah. Cuma mengenai setiap kesalahan, aku tak berani berjanji untuk tidak mengulanginya kerana aku bukanlah seorang yang bijak pandai sejak sekolah lagi namun aku akan cuba buat yang terbaik.

Pssstttt,.janganlah ada yang akan menyuruh aku edit kembali karya aku yang telah aku update dalam blog,.PENGSAN aku dibuatnya,.hahaha....